Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda

" Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

29 September 2008

AidilFitri disambut 1 Oktober

KUALA LUMPUR 29 Sept — Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan pada Rabu, 1 Oktober, demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Oktober 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. - Bernama

***************************************************

Sejarah Hari Raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua Hari Raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua Hari Raya yang mereka sambut itu, mereka segera menjawab bahawa dua Hari Raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Dari Anas berkata, sabda Rasulullah s.a.w. : Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua Hari Raya yang kamu raikan itu dengan dua Hari Raya yang mempunyai kebaikan iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri’’
(Riwayat Al-Iman Abu Daud)

Berdasarkan hadis itu jelas menunjukkan bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah merupakan perayaan keagamaan. Ini bermakna hari raya hendaklah disambut dan diraikan berlandaskan ajaran agama dan ia merupakan satu ibadat.

24 September 2008

Lailatul Qadar

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama’ untuk mencari Malam Lailatul Qadar :
Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:
1) Ahad atau Rabu - Malam Lailatul Qadar berlaku pada malam 29 Ramadhan
2) Isnin - Malam Lailatul Qadar berlaku pada malam 21 Ramadhan
3) Selasa atau Jumaat - Malam Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan
4) Khamis - Malam Lailatul Qadar berlaku pada malam 25 Ramadhan
5) Sabtu - Malam Lailatul Qadar berlaku pada malam 23 Ramadhan

Walau bagaimanapun, beribadah lah dan carilah lailatul qadar pada keseluruhan malam dalam bulan ramadhan samaadan pada malam ganjil atau sepuluh malam yang terakhir.

Marilah KITA bersama-sama beribadah kepada ALLAH swt dengan penuh KEIMANAN DAN KEIKHLASAN, mudah-mudahan kita akan dikurniakan rahmat dan maghfirah serta Lailatul Qadar yang mana lebih baik daripada 1000 bulan atau bersamaan 83 tahun.

PESAKIT MENTAL

Warta Perdana RTM telah menghidangkan laporan khas yang amat menarik. Ia mengenai kisah manusia yang gilakan perhatian. Antara perkara yang ditonjolkan dalam laporan khas itu ialah tanda-tanda penyakit mental. Antaranya suka berfantasi atau berhalusinasi , terasa diri sentiasa betul, gilakan perhatian dan angkuh.

Penyakit ini dilaporkan sering berlaku kepada mereka yang pernah mengalami kekecewaan melampau. Keadaan ini sering berlaku kepada mereka yang pernah berkuasa atau memegang jawatan utama namun kecewa dalam mencapai impian peribadi.

Kajian Pemantauan penyakit di Malaysia mendapati hampir 11 peratus rakyat dewasa mengalami gangguan mental.

Dalam laporan khas itu, Ahli Lembaga Kaunselor Profesional, Profesor Madya. Dr. Mohamed Fadzil Che Din, menjelaskan obsesif adalah satu kecelaruan dalam diri dan tanda-tanda itu boleh dikesan melalui perkataan dan perbuatan.

Tegasnya pesakit kebanyakannya akan berbuat apa sahaja bagi memastikan keinginan yang keterlaluan dicapai. Golongan ini boleh menimbulkan bahaya kerana boleh menjadi agresif dan tidak berfikir panjang dan sanggup menghalalkan apa sahaja perbuatan semata-mata menjayakan keinginan.

Menurutnya, keghairahan untuk mendapatkan melebihi dari yang lain sehingga boleh meminggirkan prinsip dan nilai sejagat. Golongan itu juga suka memperlihatkan sikap degil hingga menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak ekoran obses kepada kehendaknya.

Golongan ini boleh menghancurkan diri atau orang lain yang cuba merampas objek yang diingininya.

15 September 2008

Pembohongan Di Bulan Ramadhan

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kononnya dibentuk pada 16 September 2008, terbukti hanyalah satu pembohongan kepada rakyat dan tidak mungkin menjadi kenyataan.

Beberapa pihak yang dihubungi hari ini menyifatkan ia tidak mungkin wujud dan hanya bertujuan sebagai perang psikologi bagi melemahkan kerajaan dan menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, Anwar berulang kali mencanangkan pakatan pembangkang akan mengambil alih kerajaan pada 16 September ini. Berikutan itu juga, lima pemimpin PKR ke Taiwan bagi memujuk anggota Parlimen BN yang sedang dalam rangka lawatan ke negara itu untuk menyertai mereka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.
"Janganlah nak jadi Mat Jenin, kerana selagi kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi. Tidak kiralah sama ada Anwar atau sesiapa pun yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Hussein Al-Habshee menegaskan, kerenah Anwar itu akan membuang masa semua pihak dan akan melemahkan ekonomi negara kerana membimbangkan pelabur.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula berkata, rakyat negara ini telah diperbodohkan oleh PKR yang kononnya pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan baru esok. Rakyat perlu menilai PKR kerana peralihan kerajaan sepatutnya dilakukan secara demokrasi seperti melalui pilihan raya.
-Utusan

12 September 2008

Tiga Ditahan ISA

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tiga orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga tengah malam ini dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor ( ADUN Kinrara dan Ahli Parlimen Seputeh DAP )Teresa Kok, pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang dihubungi lewat malam tadi mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka dibuat mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 yang membolehkan mereka ditahan sehingga 60 hari.

Ketiga-tiga mereka ditahan kerana mengancam keamanan, ketenteraman awam, menimbulkan isu berbaur perkauman dan kebencian rakyat, termasuk di kalangan umat Islam negara ini.

Teresa, 44, ditahan Polis ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di ibu negara pukul 11.20 malam ini. Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau. Dan turut dilaporkan cuba menghapuskan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan di ibu negara dan mencadangkannya digantikan dengan tulisan Cina serta Tamil.

Raja Petra, 58, ditahan pada pukul 1.10 petang ini oleh Polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor. Beliau ditahan di bawah ISA selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.

Tan Hoon Cheng, 33, ditahan pada pukul 8.40 malam oleh polis di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Penahanan tersebut dipercayai ada kaitan dengan laporan wartawan itu dalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini yang mendakwa orang Cina Malaysia adalah pendatang di negara ini. Laporan beliau itu menimbulkan kontroversi di seluruh negara yang akhirnya menyebabkan Ahmad digantung keahlian UMNO selama tiga tahun dalam satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu. Dan akhbar Sin Chew Daily diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri.

Difahamkan, beberapa orang lagi akan ditahan di bawah akta yang sama dalam masa terdekat.
-Utusan Malaysia dan Berita Harian

10 September 2008

ATM bimbang isu kaum timbulkan huru-hara

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengingatkan bahawa isu perkauman yang ditimbulkan oleh ahli- ahli parti politik pada masa ini boleh menjurus kepada keadaan huru-hara.

Beliau berkata, pasukan tentera amat bimbang dengan senario itu dan menyarankan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menimbulkan isu perkauman tersebut. Menurutnya, isu perkauman merupakan antara ancaman yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.

Pada majlis yang sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pasukan polis sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi pelbagai kemungkinan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau mengulas dalam majlis penyerahan 6,000 bungkusan sumbangan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

utusan malaysia

09 September 2008

Detik Kemusnahan Islam dan Melayu

KOTA BHARU 8 Sept - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan hasrat Pakatan Pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini hanya gimik politik dan perang saraf semata-mata.

Bagaimana pun, katanya jika perubahan kerajaan benar-benar berlaku, ia sebenarnya satu detik kemusnahan Islam dan Melayu di negara ini.

"Sekarang BN mempunyai 140 kerusi parlimen. Ahli parlimen Islam seramai 89 orang dan bukan Islam 51 orang. Manakala Pakatan Pembangkang pula mempunyai 82 kerusi dengan ahli parlimen Islam seramai 43 orang dan bukan Islam 39 orang"

Katanya, jika 30 Ahli Parlimen BN bukan Islam melompat, maka akan berlaku perubahan kerusi Ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Islam seramai 43 orang dan bukan Islam 69 orang"

"Berdasarkan jumlah itu mereka akan mendesak supaya hak sama rata di antara semua kaum"

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan Datuk Seri Anwar untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini.

Utusan Malaysia

03 September 2008

16 SEPTEMBER

PEMBENTUKAN NEGARA MALAYSIA

Penubuhan persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Persekutuan ini bertujuan menjamin perpaduan, kemakmuran dan keselamatan bersama.

Gagasan ini telah menghadapi pelbagai rintangan dari dalam dan luar negeri pada peringkat awal pembentukannya.

Walau bagaimanapun, berkat keazaman yang kuat, akhirnya pada 16 September 1963,
Malaysia diisytiharkan.

PEMBINAAN NEGARA DAN BANGSA KE ARAH KEMUNCULAN NEGARA MALAYSIA BERDAULAT

Konsep negara dan bangsa melalui rentetan peristiwa di Malaysia. Konsep pembinaan negara dan bangsa juga berlaku di Eropah melalui pembentukan negara Jerman dan Itali.

Sejarah pembinaan negara Malaysia bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Kesinambungan pembinaan negara dan bangsa Malaysia dapat dilihat dengan jelas pada zaman kerajaan Johor dan Terenggganu dengan perlembagaan bertulis. Kerajaan Kelantan dengan system Jemaah Menterinya. Dan Negeri Sembilan dengan prinsip demokrasi dan konsep persekutuan.

Kemuncak kesedaran tentang pembinaan negara dan bangsa dapat dilihat melalui penentangan terhadap Malayan Union 1946 yang membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, kemunculan negara berdaulat pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Pengenalan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap melalui demokrasi berparlimen telah memberi inspirasi untuk membangunkan ekonomi. Perpaduan negara dipupuk melalui ideologi dan dasar negara seperti Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional.

Sejarah - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah

01 September 2008

Awal Ramadhan Bersamaan 1 September

Selamat Menunaikan Kewajipan Puasa di Bulan Ramadhan
Semoga segala amalan kita akan dimakbulkan Allah swt.. Amin.

Pengertian Puasa

Bahasa : Menahan diri atau menahan diri daripada sesuatu.
Istilah : Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan dengan niat bagi orang yang diwajibkan perpuasa bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Kelebihan dan Kemulian Ramadan

*Bulan diturunkan al-Quran
Firman Allah s.w.t :
"Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza." (al-Baqarah: 185)

*Bulan Umat Islam Berpuasa
Firman Allah s.w.t :
"Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan)"
(al-Baqarah: 183)

*Bulan Mempunyai Malam Lailatul Qadar
Firman Allah s.w.t :
"Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan"
(Al-Qadr : 3)

*Bulan Disunatkan Bersolat Sunat Tarawih.
Hadis Diriwayatkan Oleh Jabir bin Abdullah :
"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir.."

*Bulan Penghulu Segala Bulan
Sabda Nabi s.a.w :
"Penghulu segala bulan ialah Ramadhan dan penghulu segala hari ialah Jumaat"
(Riwayat Al-Tabrani)

*Bulan Pintu Syurga Dibuka dan Pintu Neraka Ditutup Serta Syaitan Diikat
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila datang bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan."
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

*Bulan Diampunkan Dosa

1. Diampunkan dosa-dosa kecil di antara dua Ramadhan.
Sabda Nabi s.a.w :
"Sembahyang lima waktu dan dari Jumaat ke Jumaat dan dari Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa di antaranya selagi tidak melakukan dosa-dosa besar"
( riwayat Muslim )

2. Diampunkan dosa-dosa yang lalu
Sabda Nabi s.a.w :
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan muhasabah, diampunkan Allah swt bagi nya dosa-dosa yang lepas"
( riwayat Bukhari dan Muslim )

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-51

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-51 di Dataran Merdeka di sini hari ini berjaya menggambarkan kekuatan perpaduan yang selama ini menjadi asas kepada keamanan, keharmonian dan rasa hormat antara semua kaum di negara ini.

Dengan bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ kesemua formasi serta perbarisan yang ditampilkan jelas melambangkan kepada usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengajak rakyat tidak kira latar belakang khususnya generasi muda supaya lebih menghayati erti perpaduan.

Sememangnya usaha itu berhasil apabila riak wajah lebih 50,000 masyarakat pelbagai kaum yang memenuhi setiap inci kawasan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan semangat mereka untuk berpadu demi kesejahteraan negara.

Mesej perpaduan itu ditampilkan dalam setiap acara, perbarisan dan perarakan yang disertai oleh 16,433 peserta termasuk penyertaan kali pertama 150 kanak-kanak pra-sekolah.

Sambutan yang diadakan pada pukul 8.10 pagi itu dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi 14 das tembakan meriam yang secara simbolik mewakili 14 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Ia juga diselang-seli dengan laungan ‘Merdeka’ sebagai tanda semangat tanda kesyukuran negara bebas daripada belenggu penjajah.

Sambutan bermula sejurus ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama menteri-menteri Kabinet.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isterinya tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik Proton Persona berwarna putih. Manakala Timbalan Perdana Menteri dan isterinya pula tiba dengan kereta Proton Savvy berwarna merah.

Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah para diplomat asing yang berkhidmat di negara ini.