Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda

" Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

23 November 2008

Perhimpunan Haram : Bantah ISA

KUALA LUMPUR 24 Nov. — Polis menahan sembilan orang lelaki, termasuk beberapa pemimpin PAS berikutan suatu perhimpunan yang disifatkan sebagai haram oleh pihak polis di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, Ampang, dekat sini malam tadi.

Antara yang ditahan ialah Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Wilayah Kamarulzaman Mohammad, Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor Mohd Sani Hamzan dan Ketua Unit Amal Wilayah Saifudin Abdullah dan beberapa orang penyokong.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd Jalil Hassan berkata polis terpaksa menahan kesemua mereka disebabkan keingkaran mereka untuk beredar dari tempat tersebut. Beliau berkata kira-kira 300 anggota polis termasuk FRU dikerah untuk mengawal keadaan yang dihadiri kira-kira 150 orang penyokong.

Perhimpunan di dataran itu bermula kira-kira 9 malam dianjurkan oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI). Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikannya tetapi beliau tidak hadir malam tadi.

Kerjasama Wanita UMNO dan Muslimah PAS

KOTA KINABALU 16 Nov. - Pergerakan Wanita UMNO Sabah menyambut baik kesedian Dewan Muslimah PAS bekerjasama dengan Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (SENADA) untuk memperkasa golongan wanita Islam di negara ini.

Ketua Wanita UMNO negeri itu, Senator Datuk Armani Mahiruddin berkata, sudah tiba masanya golongan kaum wanita Islam tidak kira fahaman politik dan kaum untuk mencari kesefahaman dalam menentukan kecemerlangan wanita Islam berada di tahap yang lebih optimum.

Beliau mengulas pertemuan antara Pengerusi SENADA, Shahrizat Abdul Jalil dengan Ketua Dewan Muslimah PAS, Nuridah Mohd Salleh pada sesi dialog SENADA di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, penyertaan itu adalah detik bersejarah yang membuktikan bahawa Islam merupakan titik penyatuan kepada semua aspek kehidupan walaupun dengan latar politik yang berbeza.

12 November 2008

NGO Kafir Pertikaikan Hukum Islam

Kali ini fatwa mengenai pengkid menjadi medan tempur baru. Tidak pernah berlaku kepada umat Islam sebelum ini bahawa fatwa yang dibuat demi kepentingan dan maslahah umat Islam dicabar oleh kelompok tertentu dan kalangan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada golongan NGO termasuk bukan Islam agar tidak mencabar kewibawaan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan hukum berdasarkan sumber nas Quran, sunah, ijmak dan qias.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan fatwa yang dikeluarkan itu sebagai panduan bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara yang dilarang agama.

Tahap keberanian kelompok tertentu dan kumpulan NGO bukan Islam ini sudah melepasi garisan kemarahan umat Islam. Sebenarnya, mencabar Majlis Fatwa bermakna mencabar Majlis Raja-Raja Melayu. Majlis Fatwa dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan mereka diberikan kuasa untuk memberikan garis panduan kepada umat Islam terhadap sesuatu yang tidak ada hukum. -Berita Harian

10 November 2008

Perhimpunan Haram Sambut BERSIH

PETALING JAYA 10 Nov. - Polis menahan 23 orang termasuk beberapa pemimpin pakatan pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram di hadapan Dewan Sivik, Petaling Jaya di sini malam tadi. Perhimpunan itu bermula kira-kira 9.30 malam dengan majlis memasang lilin sempena sambutan ulang tahun pertama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan adil (Bersih).

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, "perhimpunan yang disertai oleh kira-kira 200 orang itu diadakan tanpa permit justeru pihak polis terpaksa datang untuk meleraikannya."

"Mereka semua ditahan untuk diambil keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana disyaki terlibat dalam perhimpunan haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mereka yang ditahan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng serta seorang juru video Malaysiakini, Shukri Mohamad.

Menurut Khalid, perhimpunan tersebut berjaya disuraikan kira-kira pukul 12.30 pagi ini dengan aman tanpa melibatkan kekerasan.‘‘Polis bertindak mengikut etika dan profesionalisme dalam mencegah perhimpunan itu,’’ jelasnya.

Sultan Perak : Jangan Guris Melayu

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini. Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.

Titah baginda "ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu."

‘‘Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara, merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali."

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu.”

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

03 November 2008

Kempen Budi Bahasa Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kempen Budi Bahasa akan diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

Najib Menang Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO selepas mendapat 141 pencalonan bagi jawatan itu hari ini berazam untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh ahli-ahli akar umbi parti itu. Beliau juga mengajak ahli-ahli UMNO bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan negara.

Pencalonan sebanyak 134 sudah membolehkannya menang tanpa bertanding serta menutup peluang calon lain untuk memperoleh kuota kelayakan 58 pencalonan bagi mencabar Najib dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO pada Mac tahun depan.

Parti itu mempunyai 191 bahagian dan setakat ini 142 telah bersidang. Daripada jumlah 142 bahagian itu, Najib memperoleh sokongan untuk menjadi Presiden daripada 99.3 peratus bahagian-bahagian UMNO yang telah bermesyuarat.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO melahirkan rasa bersyukur dan terharu atas kepercayaan yang telah diterjemahkan dalam bentuk pencalonan oleh bahagian-bahagian UMNO berkenaan.

Beliau berkata, kejayaannya itu juga mencerminkan kehendak dan keyakinan akar umbi terhadap pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.