KUALA LUMPUR 31 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-51 di Dataran Merdeka di sini hari ini berjaya menggambarkan kekuatan perpaduan yang selama ini menjadi asas kepada keamanan, keharmonian dan rasa hormat antara semua kaum di negara ini.
Dengan bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ kesemua formasi serta perbarisan yang ditampilkan jelas melambangkan kepada usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengajak rakyat tidak kira latar belakang khususnya generasi muda supaya lebih menghayati erti perpaduan.
Sememangnya usaha itu berhasil apabila riak wajah lebih 50,000 masyarakat pelbagai kaum yang memenuhi setiap inci kawasan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan semangat mereka untuk berpadu demi kesejahteraan negara.
Mesej perpaduan itu ditampilkan dalam setiap acara, perbarisan dan perarakan yang disertai oleh 16,433 peserta termasuk penyertaan kali pertama 150 kanak-kanak pra-sekolah.
Sambutan yang diadakan pada pukul 8.10 pagi itu dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi 14 das tembakan meriam yang secara simbolik mewakili 14 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Ia juga diselang-seli dengan laungan ‘Merdeka’ sebagai tanda semangat tanda kesyukuran negara bebas daripada belenggu penjajah.
Sambutan bermula sejurus ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama menteri-menteri Kabinet.
Terdahulu, Perdana Menteri dan isterinya tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik Proton Persona berwarna putih. Manakala Timbalan Perdana Menteri dan isterinya pula tiba dengan kereta Proton Savvy berwarna merah.
Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah para diplomat asing yang berkhidmat di negara ini.
Aidil Fitri 1433H
12 tahun yang lalu
1 ulasan:
Merdeka Merdeka Merdeka Tanah Air ku..
Tahniah Tanah Air ku kerana kau berjaya melepaskan diri daripada penjajahan tanah barat..
Tahniah Pejuang Kemerdekaan dan generasi merdeka yang telah melaksanakan tanggung jawab kepada agama, bangsa dan tanah air dengan jaya nya.
Manakala generasi pasca merdeka.. teruskan perjuangan mempertahankan kemerdekaan ini daripada musuh dalam negara dan luar negara.
Agar kita dapat memerdekakan agama kita, bangsa kita dan tanah air kita.. dengan kemerdekaan yang sebenar2 nya.
anak 70an.
Catat Ulasan