Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda

" Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

04 Januari 2009

OIC perlukan pasukan misi pengaman

KUALA LUMPUR 4 Jan. — Sekarang merupakan masa yang sesuai bagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menubuhkan pasukan misi pengaman untuk dihantar ke negara-negara Islam yang mengalami pergolakan seperti Palestin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata selain daripada turut serta dalam tindakan memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat (AS) seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, masyarakat Islam dunia juga perlu bergabung tenaga untuk menubuhkan pasukan misi pengaman.

“Kita perlu menggunakan premis sedia ada, iaitu OIC. Kita perlu lakukan sesuatu yang lebih konkrit sebagai sebuah pertubuhan. Bukan semua negara anggota OIC akan bersetuju dengan cadangan ini tetapi jika ada majoriti, dengan itu kenapa tidak?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ade Nasution di sini.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB tidak memainkan peranan efektif dalam menangani konflik Israel-Palestin, yang telah mengakibatkan beribu-ribu orang awam terbunuh.

Katanya pasukan misi pengaman OIC juga boleh bekerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menguatkuasakan perdamaian di negara yang bergolak, jika perlu.

“Cadangan ini wajar dikaji. Ia terlebih dahulu perlu diterima oleh ketua-ketua negara OIC. Wujud keperluan segera bagi OIC mengadakan sidang kemuncak khas bagi tujuan itu,” katanya.

Dr Zahid berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim pada mesyuarat Kabinet akan datang pada Rabu kerana beliau boleh mengemukakannya pada mana-mana forum OIC yang dihadirinya,”. -BERNAMA

02 Januari 2009

Himpunan Mansuh ISA Kecoh Bantahan Babi

BANGI 29 Dis. - Majlis Malam Himpunan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi di sini malam ini kecoh dengan kehadiran 500 penduduk Kampung Paya Mengkuang, Melaka bagi menyerahkan memorandum membantah penternakan babi di kampung mereka.

Kekecohan berlaku apabila Unit Amal Pas yang mengawal keselamatan tidak membenarkan penduduk memasuki perkarangan kompleks bagi menyerahkan memorandum itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hadir untuk memberi ceramah pada majlis berkenaan.

Keadaan menjadi tegang apabila berlaku kejadian tolak-menolak antara penduduk terbabit dan kira-kira 30 petugas Unit Amal yang tidak berpuas hati kerana penduduk tersebut menghalang laluan hadirin ke majlis itu.

Keadaan menjadi reda setelah campur tangan pihak polis yang dengan persetujuan penganjur telah membenarkan lima ahli Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) diketuai Timbalan Pengerusinya, Rahimuddin Md. Harun yang mewakili penduduk kampung bagi menyerahkan memorandum itu kepada Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mewakili Abdul Hadi kira-kira pukul 10 malam.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada pemberita, Pewaris mendesak Abdul Hadi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak memastikan aktiviti penternakan babi di kawasan bermajoriti Melayu khususnya di Melaka tidak berleluasa demi perpaduan dan kedaulatan ummah di negara ini.

Katanya, langkah itu adalah susulan kepada penyerahan memorandum sama kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi mendesak diselesaikan segera isu ternakan babi di Kampung Paya Mengkuang di dalam kawasan Parlimen berkenaan.
Kini terdapat 38 ladang babi dengan 5,000 ternakan itu di Kampung Paya Mengkuang.
"Pewaris akan terus menghantar memorandum kepada beberapa pemimpin lain mendesak mereka supaya tidak berkompromi dalam isu penternakan babi demi kepentingan umat Islam di negara ini,'' kata kenyataan itu.