Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) merupakan sebuah parti yang terbesar dan berjasa di negara ini yang telah membawa kemerdekaan kepada tanah air dan telah memartabatkan Islam dan menjamin ketuanan melayu dalam perlembagaan negara. Sudah semestinya UMNO perlu dipelihara, diperkukuh dan dipertahankan.
Senario politik selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu jelas membuktikan bahawa kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional yang diketuai UMNO telah terhakis, khasnya rakyat daripada golongan muda.
Dato` Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan penerimaan jawatan Presiden di hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac lalu, beliau memberi bayangan bahawa UMNO akan berubah bagi memastikan kelansungan berterusan parti itu pada masa hadapan. Presiden UMNO itu yakin bahawa secara umumnya, rakyat tidak menolak Umno, tetapi “sebenarnya mereka mahu UMNO berubah”.
Antara faktor perubahan struktur di dalam UMNO yang mahu di lihat oleh rakyat ialah proses pemilihan yang berintergriti yang bebas dari sebarang bentuk sogokan atau penyalahgunaan kuasa. Untuk tujuan itu Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Bahkan jawatankuasa tersebut telah pun mengadakan mesyuarat yang pertama pada bulan lalu.
Berasaskan kepada prinsip “proses pemilihan yang berintegriti” tersebut, perubahan yang dicadangkan oleh presiden UMNO ialah pertamanya untuk melibatkan lebih ramai perwakilan dalam proses pemilihan. Keduanya pindaan tersebut akan menjurus kepada memberi ruang yang lebih liberal kepada mereka yang ingin menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti tanpa ada sekatan di dalam bentuk kuota.
Dari segi perspektif sejarah piagam atau perlembagaan UMNO yang asal telah dirangka oleh satu jawatankuasa yang dipilih di dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 Mac 1946. Ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Dato’ Onn Ja’afar sebagai pengerusi dengan yang lain terdiri dari Dato’ Panglima Bukit Gantang, , Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba. Rangka deraf perlembagaan itu telah diluluskan dengan beberapa pindaan oleh perwakilan Kongres Melayu Ketiga di Istana Besar, Johor Bahru pada 11 Mei 1946 dengan sebulat suara, setelah ianya dibentang dan dibahas dengan panjang lebar.
Semenjak daripada itu tidak banyak perubahan di buat kepada perlembagaan UMNO, kecuali selepas ianya diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah pada tahun 1988 di mana diperkenalkan undi bonus dan kemudiannya kuota untuk bertanding jawatan-jawatan penting di dalam parti, samaada di peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat bahagian.
Ada dua kritikan terhadap sistem pemilihan yang ada di dalam UMNO sekarang. Pertama sistem kuota ini dilihat sebagai menyekat parti dari memilih pemimpin yag terbaik. Seorang anak muda yang ingin berbakti di dalam parti melihat sukar untuk dia mendapat tempat kerana bukan senang untuk dia di namakan oleh jumlah cawangan yang boleh melayakkan dia bertandiing di dalam bahagian. UMNO tidak dilihat sebagai parti yang “mesra kepada ahli baru”.
Keduanya, rakyat secara umumnya sukar untuk menerima bahawa hanya lebih kurang 2,600 orang perwakilan yang menentukan siapa menjadi seorang presiden UMNO dan kemudiannya secara hukum adatnya, seorang Perdana Menteri. Suasana dan lanskap politik negara berubah. Mungkin 50 tahun dahulu rakyat boleh menerima bahawa Perdana Menteri ditentukan oleh perwakilan di dalam UMNO walaupun jumlah mereka kecil pada masa itu.
Dalam era tuntutan rakyat kepada ketulusan dan keutamaan kepada intergriti, UMNO harus menilai kembali cara dan bagaimana pemimpin-pemimpin parti dipilih. Rakyat dari pelbagai kaum akan lebih terbuka untuk menerima pemimpin UMNO sebagai pemimpin mereka jika proses pemilihan itu tidak tercemar.
Tentunya tidak ada sistem yang sempurna di di dalam memilih pemimpin parti. Tetapi asasnya ialah, biarlah ia merupakan satu “proses pemilihan yang berintergriti dan tidak tercemar”.
Suka tidak suka UMNO menghadapi masalah persepsi yang negatif. Selagi rakyat tidak dapat melihat satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk merubah persepsi ini, sukar untuk UMNO memenangi kembali hati dan jiwa rakyat. UMNO perlu berubah dan perlu dilihat bersungguh-sungguh untuk berubah.
Langkah untuk meminda perlembagaan parti adalah satu langkah yang berani dan drastik yang memberi kredibiliti kepada janji Presiden parti untuk melihatkan “satu proses pemilihan yang berintegriti”.
Sebagai parti yang lama ditubuhkan dan lebih penting lama memerintah, UMNO mudah untuk terdorong kepada satu zon yang selesa. Tetapi tidak mudah untuk mendapatkan kembali kredibiliti parti yang terhakis selepas PRU ke 12.
Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang bermula pada 16 Julai hingga 16 Ogos ini telah diminta untuk mengemukakan cadangan-cadangan pindaan perlembagaan UMNO bagi mencapai objektif ini.
Segala usul di peringkat Bahagian akan dibincangkan di dalam Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan untuk diangkatkan kepada Majlis Tertinggi sebelum dibentang didalam Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober ini. Akar umbi UMNO mempunyai peluang ini untuk meniupkan roh baru di dalam UMNO. Peluang untuk merubah persepsi negatif terhadap UMNO.
Bak kata Presiden parti, “sayalah diantara pemimpin pertama yang mengungkapkan perkataan berubah sebelum diubah dan berubah sebelum kita rebah”.